Tuesday, September 9, 2008

Menjelang 16 September - Penubuhan Kerajaan secara Tidak Demokratik

Pada 5 September iaitu Jumaat lalu, tersebar luas melalui SMS dan internet kononnya bermulanya gerakan sekumpulan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, seorang demi seorang akan meninggalkan Barisan Nasional (BN). Namun setakat ini, tidak menjadi kenyataan.

Tiada tanda kemungkinan Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak, akan melompat parti untuk menyertai Pakatan Rakyat meskipun pemimpin de facto pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan konconya begitu yakin, Kerajaan Persekutuan yang baru akan dibentuk menjelang 16 September ini.

Hakikatnya, bukan mudah untuk mendapatkan 30 Ahli Parlimen BN, iaitu angka bagi mencukupkan jumlah Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi menumbangkan secara tidak demokratik kerajaan BN.

Semakin menghampiri tarikh keramat 16 September, juga kebetulan tarikh pembentukan Malaysia itu, Pakatan Rakyat kelihatan semakin optimis . Satu dunia dicanang bahawa kerajaan Persekutuan baru bawah pimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim akan dibentuk. Semua media antarabangsa seolah yakin dan menyokong beliau.

Tetapi laporan yang banyak berat sebelah oleh media antarabangsa terutama media barat tidak pula mengatakan atau membincangkan tentang sah atau tidak penubuhan kerajaan baru ini yang jelas tidak demokratik jika ia berlaku.

Jika angka 30 dikatakan sasaran awal pembangkang mengenai jumlah wakil rakyat BN terutama dari Sabah dan Sarawak, kononnya akan melompat parti, kini angka yang diletakkan melangkaui 40 Ahli Parlimen. Soalnya, begitu murahkah harga seorang Ahli Parlimen? Kesetiaannya boleh dijual beli, boleh diperdagangkan?

Sejak gembar-gembur keghairahan Pakatan Rakyat memerintah negara dengan Anwar melantik diri sendiri sebagai Perdana Menteri menjelang 16 September ini, ungkapan 'pemimpin dari Sabah dan Sarawak' jarang lekang daripada dikaitkan dengan 'melompat parti menyertai pembangkang'. Hampir setiap kali berbicara, habis semua pemimpin BN di Sabah dan Sarawak disebut-sebut.

Namun dakwaan Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan persekutuan menjelang 16 September ini harus dipandang dengan serius. Dato' Seri Anwar begitu konsisten dalam biacaranya tentang perkara ini dan juga konco-konconya. Walaupun tidak kelihatan apa-apa sedang berlaku, jangan sesekali dipandang rendah.

Saya percaya bahawa ahli-ahli BN di Sabah dan Sarawak bukan mudah untuk dibeli. Mereka ada maruah diri dan nilai kesetiaan. Mereka boleh bermain politik untuk kepentingan negeri tetapi saya percaya mereka semua bukan talam dua muka.

No comments:

Greetings & Selamat datang

Welcome to my blog. This site is dedicated to publish my thoughts and opinion. I beleive in freedom of choice. Anonymous postings and those containing profanities, obscenities and offensive insults will be deleted. Your cooperation and understanding is much appreciated.

Selamat datang ke blog saya. Blog ini adalah khusus untuk menyiarkan buah fikir dan pendapat saya. Saya percaya atas kebebasan untuk memilih. Komentar yang mengandungi kelucahan dan penghinaan akan dipadam. Kerjasama dan kefahaman anda adalah dihargai.


About Me

My photo
Putra Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Here I Am And I Am Me.